-
Category: BERNAMA
-
Published: 19 November 2014
-
Hits: 4318
http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsperspectives.php?id=1085230
PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA
Galakkan Penggunaan Otak Kanan Untuk Tingkat Kreativiti Dan Produktiviti
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Andai Elanggovan Thanggavilo dapat mengikut kehendak hatinya, apa yang ingin beliau lakukan ialah mengembalikan sistem pendidikan kepada amalan kuno yang menggalakkan penggunaan kedua-dua bahagian otak kiri dan kanan, sekali gus melahirkan daya kuasa minda holistik.
Pelatih sumber manusia dan ahli motivasi itu berkata sistem pendidikan semasa yang berorientasikan peperiksaan kini memerlukan pelajar hanya menggunakan bahagian kiri otak, sekali gus menyebabkan mereka belajar dan berkelakuan "seperti robot".
"Sebaliknya, pengaktifan otak kanan menghasilkan pelajar yang dapat berfikir secara bijak dan kreatif, dan memungkinkan mereka menjadi perekacipta yang hebat," kata anak sulung daripada empat adik-beradik ini.
Dilahirkan di Klang, Elanggovan, yang terpesona dengan cara otak manusia berfungsi sejak muda, telah melakukan penyelidikan mengenainya selama 27 tahun sebelum membangunkan satu program revolusi pemikiran holistik daya kuasa minda dipanggil The Seven Secrets Rhythm (T7SR) (Tujuh Rahsia Irama) untuk penjawat awam dan pekerja sektor swasta.
Keyakinan melangit tinggi Elanggovan terhadap keberkesanan programnya, telah mendorong beliau mendekati MIMOS Berhad, sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan bagi inovasi teknologi maklumat dan komunikasi negara, selain mengemukakan cadangan untuk melatih jurutera institusi itu menjadi lebih kreatif dan produktif.
KURSUS JANGKA PENDEK JURUTERA MIMOS
"Apabila saya mengunjungi MIMOS pada bulan Februari tahun ini, beberapa pegawai mereka memberitahu saya bahawa dalam tempoh tiga tahun yang lalu, institusi itu tidak menghasilkan apa-apa ciptaan unik," kata beliau, dan menambah kata bahawa beliau mengemukakan cadangan untuk melatih jurutera MIMOS menggunakan modul latihan yang dibentuknya dan dikenali sebagai 'The 7 Secrets Rhythm MINDPRENEURSHIP for Scientists.'
Sudah pasti, program berkenaan membabitkan sejumlah kos dan untuk tujuan berkenaan MIMOS perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih RM5 juta, namun Elanggovan memberi jaminan bahawa pembayaran kepadanya hanya perlu dilakukan jika programnya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan atau mencapai sasaran bagi penghasilan ciptaan baharu dalam tempoh 18 bulan.
Walaupun MIMOS tidak menerima tawaran itu, institusi itu telah melibatkan Elanggovan untuk mengendalikan kursus jangka pendek untuk para juruteranya, mulai Januari tahun depan.
"Saya akan mengajar mereka teknik khas untuk mencetuskan fungsi otak dan minda mereka.
Dalam tempoh 12 hari menghadiri kursus ini, akan ada kesan daripada segi emosi dan hubungan mereka. Kemudian, mereka akan mula muncul dengan idea-idea baharu dan dalam tempoh 50 hari, mereka akan melihat hasil yang ketara daripada segi KPI mereka," beliau berjanji.
Elanggovan juga telah membangunkan modul yang dipanggil VGENIUST untuk melatih pelajar untuk cemerlang dalam bidang akademik dan sukan.
Kedua-dua program T7SR dan VGENIUST dikendalikan melalui institut miliknya, juga dipanggil The Seven Secret Rhythm, yang ditubuhkan pada 2007.
INISIATIF CSR
"Setakat ini kita telah melatih lebih 16,000 pelajar di seluruh negara yang akhirnya mendapat keputusan bagus," dakwa Elanggovan, yang terlatih dalam bidang kejuruteraan perisian.
Mengakui bahawa tidak semua mampu membayar yuran yang beliau kenakan bagi menghadiri kursus kendaliannya, Elanggovan memutuskan untuk menubuhkan Persatuan Minda Pintar Malaysia (ISOM), yang kelihatan lebih berbentuk satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di pihaknya.
Melalui ISOM, Elanggovan berhasrat menawarkan kursus kepada pelajar tanpa sebarang bayaran, atau mungkin hanya sekadar bayaran minimum.
"Idea untuk menubuhkan ISOM datang kira-kira apabila sesetengah sekolah meminta saya menawarkan kursus yang saya kendalikan tetapi kadar komersial yang saya kenakan tidak sepadan dengan bajet mereka.
"Maka, saya babitkan rakan-rakan usahawan saya untuk mencari penaja bagi membantu sekolah-sekolah ini dan ketika inilah saya menyedari bahawa kita perlu mempunyai satu entiti yang melaluinya kita boleh menjalankan kursus untuk sekolah-sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan."
Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, Elanggovan berkata beliau merupakan seorang yang agak nakal dan tidak suka untuk mengulang kaji.
"Saya lebih banyak melayani idea teknik penciptaan yang akan membantu pelajar untuk melakukan ulang kaji minimum namun berjaya memperoleh markah yang tinggi! Mujurlah, saya sering mendapat markah yang baik dengan beberapa teknik amali yang saya pelajari daripada datuk nenek, ibu bapa saya, dan guru serta rakan tertentu."
Beliau berkata ibu bapa di seluruh dunia biasanya mencuba sebaik mungkin untuk memastikan anak-anak mereka belajar dengan tekun dan menghafal fakta dan angka, tetapi tidak semua berakhir dengan prestasi baik dalam peperiksaan masing-masing.
"Bahkan tuisyen dan kelas tambahan tidak menjamin perolehan keputusan yang baik," katanya, sambil menegaskan bahawa satu-satunya jalan keluar bagi para pelajar, secara jujurnya, adalah dengan membina atau menghubungkan semula saraf-saraf neuron otak mereka, yang secara kebetulan adalah fokus utama program latihan minda yang dikendalikannya.
-- BERNAMA